Adik Tak Tipu (2015) Cereka Ahad TV3




Kisah bermula dengan Alfie (Wafiy Ilhan), seorang kanak-kanak nakal yang sering menimbulkan masalah kepada ibu bapanya (lakonan Elly Mazlein dan Fauzi Nawawi). Ibu bapanya sudah habis ikhtiar memikirkan cara menangani dan mententeramkan anak bongsunya yang hiperaktif. Pembantu rumah mereka, Yeni (lakonan Najua Nasir) merupakan mangsa buli utama Alfie.

Alfie suka menyakat Yeni dengan memecahkan pasu-pasu ibunya agar Yeni marah dan terpaksa mengemasnya. Selain Yeni, rakan-rakan di sekolah juga menjadi mangsa buli Alfie dan keadaan paling cemas ialah apabila Alfie menabur gam di atas kepala salah seorang rakan kelasnya. Ini menyebabkan ibu dan bapanya terpaksa berjumpa dengan guru disiplin.

Oleh kerana tindakan Alfie itu sudah di luar kawalan ibu bapanya, Alfie dibawa untuk bertemu seorang doktor pakar dan seorang ustaz dengan niat agar Alfie akan berlembut hati dan mendengar kata. Namun, ikhtiar ibu bapanya hanyalah sia-sia kerana Alfie tetap juga nakal seperti biasa.

Akhirnya, ibu dan bapa Alfie mendapat idea untuk menggunakan bulan puasa sebagai cara untuk mendidik Alfie. Bapa Alfie berjanji kepadanya untuk membeli satu hadiah lumayan sekiranya Alfie berjaya berpuasa penuh. Bermula pada hari itu, Alfie bernekad untuk berpuasa penuh dengan harapan untuk mendapat ganjaran dari ayahnya.

Segalanya berjalan dengan lancar dan Alfie mampu mempertahankan puasanya. Sehingga satu hari, Alfie berkecil hati kerana kakaknya (lakonan Sweet Farhanna) menuduhnya tidak berpuasa. Alfie merajuk dan enggan untuk berbuka puasa bersama keluarganya. Hal ini menyebabkan Alfie mengalami dehidrasi lalu pitam dan tidak sedarkan diri.

Adakah Alfie mampu diselamatkan? Dapatkah Alfie menyambut Aidilfitri bersama keluarganya?
Back To Top